HADITH:CERMIN DIRI
CERMIN DIRI SENDIRI
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasullullah SAW telah bersabda,
maksudnya:
"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak",
maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka."
(H.R. Muslim)
Penerangan Hadis:
Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus Shalihin,
beliau memberi penjelasan seperti berikut:
"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata orang ramai sudah rosak)
adalah untuk orang yang mengucapkan
sedemikian dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri ('ujub)
sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan
merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka.
Maka yang demikian ini HARAM".
"Adapun orang yang berkata seperti itu kerana ia melihat
kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka
serta didorong oleh perasaan sedih melihat
yang di alami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu
terhadap agama, maka perkataan ini tiada
salahnya".
Hadis ini boleh menjadi peringatan kepada kita semua
semasa membincang dan menghuraikan
masalah-masalah umat Islam sekarang ini.
Maka apabila kita membincangkan masalah-masalah
umat Islam dewasa ini maka janganlah kita merasa 'ujub
dengan diri kita sendiri,
bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing
dan jangan suka menuduh orang lain.
Walaupun hal kerosakan moral umat Islam dewasa ini diketengahkan
biarlah pendedahan itu dalam bentuk yang sihat,
dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap ugama,
bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.
Tidak salah membincangkan kerosakan yang berlaku,
namun jangan sampai menganggap diri kita 'perfect'
dan orang lain tidak setanding dengan kita.
Mudah-mudahan ALLAH swt. dengan limpah kurnia Nya
memberikan kepada kita rahmat, taufiq dan hidayah. AMIN
No comments:
Post a Comment